Nasab beliau
yang mulia ialah al-Habib ‘Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafiz bin Abd-Allah
bin Abi Bakr bin‘Aidrus bin al-Hussain bin al-Shaikh Abi Bakr bin Salim bin
‘Abd-Allah bin ‘Abd-al-Rahman bin ‘Abd-Allah bin al-Shaikh ‘Abd-al-Rahman
al-Saqqaf bin Muhammad Maula al-Daweela bin ‘Ali bin ‘Alawi bin al-Faqih
al-Muqaddam Muhammad bin ‘Ali bin Muhammad Sahib al-Mirbat bin ‘Ali Khali‘
Qasam bin ‘Alawi bin Muhammad bin ‘Alawi bin ‘Ubaidallah bin al-Imam al-Muhajir
to Allah Ahmad bin ‘Isa bin Muhammad bin ‘Ali al-‘Uraidi bin Ja'far al-Sadiq
bin Muhammad al-Baqir bin ‘Ali Zain al-‘Abidin bin Hussain cucu Nabi, putera
kepada pasangan ‘Ali bin Abu Talib dan Fatimah al-Zahra puteri Baginda Nabi
Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa alihi wa sohbihi wasallam.
Kehidupan
Beliau
dilahirkan sebelum waktu fajar hari Isnin, 4 Muharram 1383 H bersamaan 27 Mei
1963M di Kota Tarim, Hadramaut, salah satu kota tertua di Yaman yang menjadi
sangat terkenal di seluruh dunia dengan ramainya para ilmuwan dan para alim
ulama yang dihasilkan dari kota ini selama berabad-abad lamanya. Beliau
dibesarkan di dalam keluarga yang memiliki tradisi keilmuan Islam dan kejujuran
moral dengan ayahnya yang merupakan seorang pejuang syahid yang terkenal, ahli
intelektual, penda'wah yang ulung, iaitu Habib Muhammad bin Salim bin Hafiz bin
Shaikh Abu Bakr bin Salim yang juga merupakan Mufti Kota Tarim al-Ghanna.
Demikian juga
kedua-dua datuk beliau, al-Habib Salim bin Hafiz dan al-Habib Hafiz bin
Abd-Allah yang juga merupakan para intelektual Islam yang sangat dihormati kaum
'ulama dan intelektual Muslim pada zamannya. Allah seakan-akan telah
menyediakan kondisi dan persekitaran yang sesuai bagi al-Habib ‘Umar melalui
hubungannya dengan para intelektual muslim di sekitarnya serta kemuliaan yang
muncul daripada kalangan keluarganya sendiri dan lingkungan masyarakat di mana
beliau dibesarkan.
Beliau telah
mampu menghafal Al Qur’an pada usia yang sangat muda dan beliau juga menghafal
banyak teks dan matan dalam ilmu Fiqh, Hadith, Bahasa Arab dan berbagai-bagai
lagi cabang ilmu lain. Beliau turut serta dalam halaqah ilmu yang dikendalikan
oleh ramai ulama-ulama tradisional seperti al-Shaikh Muhammad bin ‘Alawi bin
Shihab, al-Shaikh Fadl Baa Fadl dan juga para ulama lain yang mengajar di
Ribat, Tarim yang terkenal itu. Maka beliau pun mempelajari ilmu-ilmu agama dan
kerohanian dari ayahnya yang meninggal syahid, al-Habib Muhammad bin Salim, yang
daripadanya beliau dapatkan cinta dan perhatian yang mendalam pada da'wah dan
bimbingan keagamaan mengikut cara yang dikehendaki Allah SWT. Ayahnya begitu
memperhatikan al-Habib ‘Umar sewaktu kecil yang sentiasa berada di sisi ayahnya
di dalam halaqah ilmu dan zikir.
Satu ketika
berlaku peristiwa tragis saat al-Habib ‘Umar sedang menemani ayahnya untuk
menunaikan solat Jum‘at, ayahnya diculik oleh golongan komunis, dan beliau yang
masih kecil ketika itu pulang bersendirian ke rumahnya dengan masih membawa
syal (kain berupa selendang) milik ayahnya, dan sejak saat itu ayahnya tidak
lagi kelihatan. Ini menyebabkan beliau menganggap bahwa tanggung jawab untuk
meneruskan pekerjaan yang dilakukan ayahnya iaitu dalam bidang da‘wah
disampaikan melalui syal ayahnya, ibarat sebuah bendera perjuangan yang
diberikan kepadanya sebelum ayahnya mati syahid. Sejak itu, dengan bendera
tersebut yang dikibarkannya tinggi-tinggi, ia memulakan secara bersemangat
perjalanan penuh perjuangan, mengumpulkan orang-orang, membentuk majlis-majlis
ilmu dan berda’wah. Perjuangan dan usahanya yang gigih demi meneruskan
perjuangan ayahnya mula membuahkan hasil. Kelas-kelas mulai dibuka bagi
golongan muda mahupun orang-orang tua di masjid-masjid setempat di mana
ditawarkan pelbagai peluang untuk menghafal Al Qur’an dan untuk belajar
ilmu-ilmu agama.
Sesungguhnya
al-Habib ‘Umar ialah seorang ulama' yang benar-benar memahami kitab suci
al-Quran sehingga ia telah diberikan sesuatu kurnia yang khusus daripada Allah,
meskipun ketika usianya yang masih muda. Namun hal ini mula menyebabkan
timbulnya kekhuatiran akan keselamatannya dan akhirnya diputuskan supaya beliau
dihantar ke kota al-Bayda’ yang terletak di tempat yang disebut Yaman Utara.
Ini menjadikannya jauh dari jangkauan mereka yang berniat jahat ingin
mencelakakan beliau.
Di sana
bermula babak baru yang penting dalam perkembangan ilmu beliau. Dengan memasuki
sekolah Ribat di al-Bayda’ beliau mula belajar ilmu-ilmu tradisional dibawah
bimbingan mereka yang ahli iaitu al-Habib Muhammad bin ‘Abd-Allah al-Haddar,
semoga Allah mengampuninya, dan juga dibawah bimbingan seorang 'alim mazhab
Shafi‘i al-Habib Zain bin Sumait, semoga Allah melindunginya. Janji beliau
terpenuhi ketika akhirnya beliau diangkat sebagai seorang guru tak lama kemudian.
Beliau terus melanjutkan perjuangannya yang tak mengenal erti lelah dalam
bidang da‘wah.
Kali ini
tempatnya adalah al-Bayda’ dan kota-kota serta desa-desa disekitarnya. Tiada
satu pun yang tertinggal dalam usahanya untuk memperkenalkan kembali cinta
kasih Allah dan Rasul-Nya s.a.w dalam hati manusia seluruhnya. Kelas-kelas dan
majlis didirikan, pengajaran dimulakan dan masyarakat dibimbing. Usaha beliau
yang demikian gigih menyebabkan dirinya sentiasa kekurangan tidur dan
istirehat. Namun usaha beliau mula menunjukkan hasil yang besar apabila manusia
tersentuh dengan ajaran yang disampaikan beliau, terutamanya para pemuda yang
sebelum itu terjerumus dalam kehidupan yang kosong dan sia-sia, namun kini
telah mengalami perubahan mendalam hingga mereka akhirnya sedar bahawa hidup
ini memiliki tujuan, mereka bangga dengan indentiti baru mereka sebagai Muslim,
mengenakan serban dan selendang (rida') sebagai cara pakaian umat Islam dan
mula menumpukan perhatian mereka demi meraih sifat-sifat luhur dan pekerti
mulia seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.
Sejak saat
itu, sekelompok besar masyarakat yang telah terkesan dengan da'wah beliau mula
berkumpul mengelilingi beliau dan membantunya dalam perjuangan da‘wah di
bermacam-macam kota, baik besar maupun kecil di Yaman Utara. Pada masa ini,
beliau mula mengunjungi banyak tempat mahupun masyarakat di seluruh Yaman,
mulai dari kota Ta'iz di utara, untuk belajar ilmu daripada mufti Ta‘iz
al-Habib Ibrahim bin Aqil bin Yahya yang mula menaruh perhatian dan
kasih-sayang yang besar terhadap beliau sebagaimana yang didapatkan daripada
Shaikh al-Habib Muhammad al-Haddar sehingga guru beliau itu menawarkan
puterinya untuk dinikahi setelah menyaksikan bahwa dalam diri beliau terdapat
sifat-sifat kejujuran dan kepintaran yang luar biasa.
Tak lama
kemudian, beliau melakukan pengembaraan yang melelahkan untuk menunaikan ibadah
Haji di Makkah dan menziarahi makam Rasulullah SAW di Kota Madinah. Dalam
perjalanannya ke tanah Hijaz, beliau dikurniakan kesempatan untuk mempelajari
beberapa kitab daripada para ulama yang terkenal di sana, terutama daripada
al-Habib 'Abdul Qadir bin Ahmad al-Saqqaf yang telah menyaksikan bahawa di
dalam diri al-Habib ‘Umar, terdapat semangat pemuda yang penuh kecintaan
terhadap Allah dan Rasul-Nya SAW dan seorang yang bersungguh-sungguh dalam
menyebarkan ilmu dan keadilan kepada umat manusia, sehingga beliau benar-benar
dicintai al-Habib Abdul Qadir selaku salah-seorang gurunya yang utama. Beliau
turut dikurniakan kesempatan untuk menimba ilmu dan mendapatkan bimbingan
daripada kedua-dua simbol keadilan di Hijaz, yakni al-Habib Ahmed Mashur
al-Haddad dan al-Habib 'Attas al-Habashi.
Sejak itulah
nama al-Habib Umar bin Hafiz mula tersebar luas disebabkan kegigihan usaha
beliau dalam menyeru manusia kepada agama Islam dan memperbaharui ajaran-ajaran
awal yang tradisional. Namun kepopularan dan kemasyhuran yang besar ini tidak
sedikit pun mengurangkan usaha pengajaran beliau, bahkan sebaliknya. Tiada
waktu yang terbuang sia-sia, setiap saat dipenuhi dengan mengingati Allah dalam
pelbagai manifestasi dan cara, dalam pelbagai situasi dan lokasi yang berbeza.
Perhatiannya yang mendalam dalam usaha menyuburkan keimanan terutamanya
terhadap mereka yang berada di sampingnya, telah menjadi salah satu dari
perilaku beliau yang paling dilihat jelas sehingga membuat nama beliau tersebar
luas bahkan hingga sampai ke seantero dunia masa kini.
Berdakwah,
mengajar dan belajar telah sebati dalam jiwa beliau. Pada tahun 1414H bersamaan
1994M apabila kembali ke tanah tumpah darahnya, beliau telah mengasaskan sebuah
pusat pendidikan Islam yang diberi nama “Dar al-Musthafa” di Bandar Tarim
Hadramaut. Ini berikutan daripada pelajar-pelajar yang datang dari beberapa
Negara Islam untuk menerima didikan daripada beliau. Diperingkat awal penubuhan
Dar al-Mustafa diasaskan atas beberapa matlamat seperti berikut:-
1. Menimba
ilmu syariat dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya secara talaqi daripada
guru-guru yang berkeahlian dalam bidang tersebut berserta sanad mereka
2.
Membersihkan jiwa serta mendidik akhlak
3.
Mengarusperdanakan ilmu-ilmu yang bermanafaat serta dakwah kepada Allah.
Akhirnya Dar
al-Musthafa mampu membangunkan tapak pengajian sendiri yang dinobatkan secara
rasmi sebagai sebuah pusat pengajian dan pendidikan Islam pada 29 Zu al-Hijjah
bersamaan 6 Mei 1997. Kini Dar al-Mustafa begitu mendapat perhatian daripada
pelajar-pelajar seluruh dunia Islam, ditambah pula graduan-graduannya telah
diiktiraf oleh al-Azhar al-Sahrif dan kebanyakan universiti terkemuka dunia
Islam.
Al-Allamah
al-Habib Umar al-Hafiz telah banyak menbuat lawatan dakwah Islami dan
menyampaikan ilmu syarak ke negara-negara Islam lain seperti Syria. Mesir,
Sudan, Pakistan, Indonesia, Brunei Darussalam dan Negara kita Malaysia saban
tahun
Karya
Di samping
seorang pendakwah, Habib Umar juga seorang penulis yang produktif.
Karya-karyanya tidak terhad kepada ilmu Fiqh sahaja, bahkan beliau juga
mengarang beberapa kitab Tasawuf dan Maulid. Kitab yang ditulis antara lain:
• Dhiya'ul
Lami' (Maulid Nabi Muhammad SAW)
• Dhakhira
Musyarofah (Fiqh)
• Muhtar
Ahadits (Hadits)
• Nurul Iman
(Aqidah)
• Durul Asas
(Nahu)
• Khulasah
Madad an-Nabawi (Zikir)
• Tsaqafatul
Khatib (Panduan Khutbah)
- Maulid Dhiya'ul Lami' download
Tidak ada komentar:
Posting Komentar